Sunday, December 20, 2009

Rumah saudara Hamdani menantu arwah Hj Saring hangus terbakar






Kira-kira jam 4.00 petang, 18 Disember 2009 rumah saudara Hamdani yang terletak di Jalan Abu Masmoo, Kg Jenjarom telah musnah terbakar. Kejadian yang dipercayai disebabkan litar pintas ini menyebabkan keseluruhan harta benda yang terdapat di rumah tersebut musnah. Tinggallah keluarga ini sehelai sepinggang. Namun sikap prihatin masyarakat termasuk JKKK dan JKKKP kg Jenjarom telah membantu dengan memberikan sumbangan wang ringgit dan pakaian kepada keluarga malang ini. Sumbangan ini diharapkan dapatlah mengurangkan beban keluarga ini lebih-lebih lagi musim persekolahan akan bermula seminggu lagi. Pihak bomba sampai lewat di tempat kejadian kerana dipercayai gagal menemui Jalan Abu Masmoo kerana tanda nama jalan baru yang dipasang oleh pihak JKR ialah Jalan Abu Masimoo. Kini, buat sementara waktu keluarga ini tinggal di rumah saudara kandungnya yang kebetulan mereka tiga beradik tinggal berjiran. JKKK Kg Jenjarom berdoa agar keluarga saudara Hamdani bersabar dengan ujian Allah ini dan diberkati kehidupan mereka. JKKK juga mengucapkan terima kasih atas bantuan dan sumbangan pelbagai pihak kepada keluarga ini. Sesungguhnya kejadian ini telah membawa banyak hikmah khususnya dalam kalangan warga Kampung jenjarom. Warga Kampung Jenjarom tanpa mengira batas politik sama-sama menghulur bantuan kepada saudara Hamdani. Sikap positif seperti ini menjadi titik tolak kepada perpaduan yang sedia wujud dalam kalangan warga kampung untuk menjadi lebih kukuh.

Nota: Ketika ini penulis masih di berada Penang dan gambar yang terpapar sumbangan sdr Baharom sementara maklumat diperoleh daripada sdr Jurihan dan sdr Sarip.

No comments: