Thursday, October 30, 2008

Hujah TV9: Saifudin Nasution VS Khir Toyo

Bahagian 1


Bahagian 2


Bahagian 3

Wednesday, October 29, 2008

Kemudahan di Kolej Komuniti

Pada 28 Oktober, saya dan Nizam telah menghadiri Seminar E-Komuniti di Kolej Komuniti Kuala Langat mewakili Tok Ketua yang mempunyai urusan lain yang lebih penting. Seminar yang sepatutnya bermula jam 8.30 pg hanya dimulakan kira-kira jam 9.30 pagi. Kebanyakan Ketua Kampung termasuk saya dan Nizam 'panas punggung' menunggu majlis dimulakan. Inilah salah satu kelemahan besar dalam sistem pengurusan masa kita. Baik di peringkat yang paling rendah sehinggalah ke peringkat yang tertinggi. Sehingga ungkapan 'janji Melayu' wujud berkaitan fenomena ini. Oh bilakah ini akan berakhir? Saya berharap JKKK Kg Jenjarom akan sentiasa menepati masa.
Apakah yang boleh kita manfaatkan daripada kemudahan yang ada di Kolej Komuniti? Kita bernasib baik Kolej Komuniti menawarkan pelbagai kursus khususnya untuk anak-anak Kg Jenjarom dan semua warga kerana kolej tersebut juga menawarkan kursus-kursus pendidikan sepanjang hayat. Maklumat lanjut boleh ke url http://www.kkkla.edu.my .
Kebanyakan biro dalam JKKK boleh memanfaatkan kemudahan yang ada di kolej tersebut. Maka gunakanlah peluang yang ada untuk dimanfaatkan oleh warga Kg Jenjarom. Ketua-ketua biro boleh menghubungi Pn Azila Baharudin di Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat di talian 03-31202030 atau emel: azila@kkkla.edu.my

Tuesday, October 28, 2008

Mengenalpasti jalan yang perlu diturap dan dibaiki

Jam 5.00 ptg saya, Hj Adni dan sdr Mesari menyelusuri jalan-jalan di Kampung Jenjarom bagi mengenalpasti jalan yang perlu dibaiki dan diturap serta parit yang perlu dibersihkan susulan daripada banjir yang melanda Jalan Sukepi. Kami mengambil gambar bagi diajukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya. Antara jalan yang perlu dibaiki dan diturap ialah Jalan Getah, Jalan Meranti, Jalan Mahang, Jalan Tembusu, Jalan Waiman, Jalan Damansor dan Belakang Jalan Jambu Air

Lintah


Pada 27 Oktober 2008 saya ke kolam ternakan lintah di Bangi kepunyaan anak saudara saya Izzat. Dalam masa kira-kira 10 saat saya memasukkan tapak tangan ke dalam kolam 6 ekor lintah terus menuju dan melekat pada tapak tangan saya seperti dalam gambar.
Keterangan berhubung lintah di ladang tersebut sila klik url berikut: http://lintahbangi.blogspot.com/

Monday, October 27, 2008

Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung

Mesyuarat JKKK Kg. Jenjarom Kali Ke-3 akan diadakan pada:
Tarikh: 27 Oktober 2008
Masa: 8.30 mlm
Tempat: Balai Raya Kg. Jenjarom

Semua Ahli Jawatankuasa JKKK Kg Jenjarom dijemput hadir.

Sunday, October 26, 2008

Kisah di sebalik Banjir II

Alhamdulillah pada 25 Oktober 2008 bersamaan hari Sabtu pihak SYABAS telah menyambung bekalan air di rumah seorang warga yang saya nukilkan pada Kisah di sebalik Banjir yang lepas. Hj Misnan selaku ketua kampung telah melalui pelbagai karenah birokrasi sebelum penyambungan paip dapat dibuat. Usaha beliau telah membuahkan hasil setelah dua kali naik pejabat SYABAS dan bertemu sendiri pegawai yang berkenaan. Hasilnya bekalan air paip telah dibuat semalam walaupun mengikut prosedur sekurang-kurangnya perlu mengambil masa 5 hari bekerja dari tarikh permohonan penyambungan semula. Terima kasih kepada pihak SYABAS kerana mempercepat proses ini. Kini keluarga tersebut dapat menikmati bekalan air terus ke rumah mereka setelah 3 tahun tidak dinikmati. Pada waktu itu saya menemani bonda di wadnya dan 'discharge' dari hospital tengah hari semalam. Petang semalam sepulang daripada membawa pulang bonda dari hospital saya bersama isteri ke rumah keluarga berkenaan dan tergambar wajah ceria keluarga tersebut. Alhamdulillah keluarga tersebut sedikit sebanyak dapat kami tolong dan pembedahan ibu juga telah selamat. Saya akan nukilkan kisah di sebalik pembedahan ibu pada kesempatan yang lain kerana ada pengalaman yang boleh dikongsi dan kita renungkan bersama.

Friday, October 24, 2008

Kisah di sebalik Banjir


Jam 10.30 mlm - Saya, Ustaz Misnan, Sdr Sarkam & SdrHassan melawat mangsa penempatan banjir dan meninjau kawasan sekitar Jln Sukepi. Banjir agak surut. Dalam perjalanan pulang dari kawasan banjir Ust Misnan mengutarakan persoalan tentang sebuah keluarga yang ditimpa ujian Allah yang berat. Keluarga tersebut mempunyai empat orang yang berpenyakit buah pinggang. Si kakak dan adik telah menemui Penciptanya akibat daripada penyakit buah pinggang yang dialami. Kesemua mereka berusia belasan dan dua puluhan tahun. Kini dua orang adik-beradik mereka menjalani rawatan hemodialisis 3 kali seminggu dengan pembiayaan Pusat Zakat Selangor. Keluarga ini juga menghadapi masalah kewangan kerana kedua-dua mereka tidak dapat bekerja kerana masalah penyakit yang dihadapi. Seorang saudara lelaki mereka yang bebas daripada penyakit ini yang menyara hidup mereka dan bekerja sebagai 'foreman'. Dalam masa yang sama dialah yang menghantar kedua-dua saudaranya menjalani rawatan hemodialisis. Ini menyebabkan pendapatannya selalu sahaja tidak konsisten kerana terpaksa meninggalkan kerja atas urusan tadi. Kami dimaklumkan YB Dr Yunus ADUN Sijangkang banyak membantu khususnya dalam aspek perubatan.
Agak memeranjatkan kami, bekalan air telah 3 tahun dipotong dengan tunggakan kira-kira RM800. Dalam tempoh itu, mereka mendapatkan bekalan air daripada jiran tetangga. Kami berbincang dan akhirnya bebarapa keputusan dibuat. Sdr Hasan yang bekerja di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan berusaha membantu untuk mendapatkan bantuan makanan bulanan daripada PKPS. Sdr Sarkam mendapatkan dana dari Surau dan orang perseorang. Ust Misnan akan mendapatkan bil air yang tertunggak untuk dijelaskan dengan memohon atau menggunakan dana Tabung Masjid alFalah, surau dan orang perseorangan.
Kira-kira jam 12.00 mlm kami pulang dengan rasa lega kerana sedikit sebanyak kami telah berusaha untuk mengurangkan bebanan warga kampung yang memerlukan. Begitulah di sebalik banjir kami sempat berbincang dan mencari jalan membantu warga yang pada pendapat kami amat memerlukan bantuan. Dan kami masih ada senarai warga yang memerlukan perhatian bukan sahaja daripada kami tetapi warga lain juga! Seseungguhnya kami amat mengalu-alukan warga prihatin turut bersama-sama kami membantu mereka yang memerlukan.

Thursday, October 23, 2008

Menangguk di Air Keruh

Malang sekali dalam keadaan mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan banjir ada pihak tidak bertanggungjawab menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan mencuri barangan di rumah mereka. Sehingga berita ini ditulis seorang mangsa masih berada di Balai Polis Telok Panglima Garang kerana melaporkan kehilangan komputer dan bebarapa pasang kasut. Kejadian ini amat dikesali kerana pada saat mangsa sepatutnya diberi sokongan moral akibat musibah yang dialami ada golongan yang mengambil kesempatan terhadap mereka. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga mangsa banjir menerima dua musibah. Pihak JKKK dan RELA perlu meninjau hal ini agar tidak berlaku lagi kepada mangsa banjir yang lain. Sekali lagi kami berharap mangsa yang terlibat bersabar. Sesungguhnya musibah ini pasti ada hikmahnya.

Keadaan Banjir Terkini

-Sehingga jam 10.00 pg keadaan banjir di Bt. 9, Kebun Bharu dan Jalan Sukefi, Kg. Jenjarom tidak banyak berubah. Tinjauan yang dibuat menunjukkan cuma sedikit surut dari hari Selasa. Sehingga kini, mangsa banjir masih belum boleh pulang ke rumah masing-masing. Namun, bantuan segera daripada pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, JPA3, dan agensi lain amat dihargai. Malah kehadiran YAB Dato' Menteri Besar serta ADUN Sijangkang melawat penempatan banjir di SRA Kebun Bharu pada hari Rabu sedikit sebanyak telah memberi semangat dalam menghadapi banjir yang terbesar sehingga kini.
-Pusat Penempatan Banjir di Jln Sukefi masih dihuni 14 mangsa banjir daripada 2 buah keluarga.
-Segala keperluan makan minun disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
-Terima kasih kepada pihak yang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
-JKKK Kg Jenjarom sentiasa bersedia membantu mangsa banjir.

Catatan Banjir di Jalan Sukefi, Kg Jenjarom

9.40 mlm (21 Oktober 2008), Hj Misnan menelefon mohon bantuan untuk ke balai di Jln Sukefi yang dijadikan Pusat Penempatan banjir. Saya bergegas ke sana. Sampai di sana terus berjumpa Hj. Misnan, Bang Sarkam, Hasan, Ma'amin, Zaidun dan beberapa orang lagi. Di dalam balai ada dua keluarga yang berjumlah 14 orang telah berpindah kerana rumah mereka dinaiki air dan bahaya untuk didiami. Saya bertanya khabar dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan banjir. Saya hubungi Baha dan Mat Darindi untuk sama-sama membantu. Rakan lain telah hubungi pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah.
10.15 mlm - Datang sebuah kereta polis meninjau keadaan dan membuat laporan pusat penempatan banjir di Jalan Sukefi. Fauziah Hayat dan Hj. Basuki sampai di tempat kejadian. Kami membantu membuat penghadang jalan masuk betul-betul di simpang masuk ke Jalan Sukefi. Kami bertugas memberitahu orang awam bahawa Jalan Sukefi dinaiki air dan bahaya untuk kenderaan ringan melaluinya. Ada sesetengah pemandu yang yakin boleh melalui jalan tersebut akhirnya berpatah balik. Hujan gerimis pada waktu ini.
10.30 mlm - 6 kotak air minuman dibawa untuk keluarga terlibat. Mee goreng juga disediakan untuk mereka. Seorang rakan meninjau keadaan banjir.
10.45mlm - Azmi seorang Ahli Majlis Daerah datang meninjau. Saya, Baha & Zaidun berkawal di simpang tiga ke Jalan Sukefi. Rakan yang meninjau keadaan banjir menyatakan air naik lagi.
11.30 mlm - Sebuah kereta polis datang meninjau. Azmi dapat maklumat lebih seribu orang kini berada di penempatan banjir di Kebun Bharu. Lori JKR tiba untuk membuat penghadang laluan di Jalan Sukefi. Jalan Sukefi ditutup sepenuhnya.
11.55 mlm - Kenderaan Jabatan Kebajikan Masyarakat tiba membawa selimut dan bantuan yang berkaitan. Seramai 4 orang pegawai JKM mengagih bantuan dan mendapatkan maklumat mangsa banjir.
12.30 mlm - Sehingga jam ini mangsa banjir tidak bertambah. Alhamdulillah mereka mendapat bantuan sewajarnya daripada warga kampung dan JKM. Saya pulang ke rumah. Hj Misnan, Bang Sarkam, Zaidun dan beberapa orang lagi masih di balai.
*Jalan Sukefi merupakan jalan alternatif laluan ke Shah Alam/Kuala Lumpur tanpa perlu melalui Telok Panglima Garang dan Klang.

Thursday, October 9, 2008

Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung

Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Jenjarom akan diadakan pada 11 Oktober 2008 bertempat di Balai Raya Kg. Jenjarom bermula jam 9.00 pg.
Semua AJK dijemput hadir.

Tuesday, October 7, 2008