Saturday, September 19, 2009

SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN

JKKK Kg Jenjarom mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan maaf zahir batin kepada seluruh warga Kampung Jenjarom dan para pengunjung blog ini. Walaupun dalam keadaan ekonomi yang agak suram, JKKK percaya perayaan ini tetap disambut dengan penuh kesederhaan dan meriah. Apa yang lebih penting ialah kita telah berjaya menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim iaitu berpuasa dan menunaikan zakat fitrah.

Sempena Aidil Fitri ini marilah kita saling bermaafan dan kunjung-mengunjung bagi mengeratkan lagi silaturahim sesama warga kampung secara keseluruhannya. Bagi anak-anak dan kaum remaja khususnya berhati-hatilah semasa bermain bunga api atau mercun. Kita tidak mahu kemeriahan perayaan ini dicemari dengan kecederaan akibat bermain bunga api atau mercun. Alhamdulillah sehingga kini, hampir tiada kes sedemikian berlaku di kampung tercinta ini.

Sempena Hari Raya ini, JKKK juga akan memberikan hadiah pada pintu gerbang atau 'gapuro' yang paling cantik. Hadiah ini akan disampaikan pada Majlis Jamuan Hari Raya kelak. Budaya membina 'gapuro' ini juga menjadi satu lagi budaya positif yang diamalkan oleh anak-anak muda warga kampung kita. JKKK berasa bangga atas inisiatif anak-anak muda yang meneruskan budaya ini.

Akhirnya, JKKK Kg Jenjarom sekali lagi mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada seluruh warga Kampung Jenjarom.

No comments: