Friday, October 24, 2008

Kisah di sebalik Banjir


Jam 10.30 mlm - Saya, Ustaz Misnan, Sdr Sarkam & SdrHassan melawat mangsa penempatan banjir dan meninjau kawasan sekitar Jln Sukepi. Banjir agak surut. Dalam perjalanan pulang dari kawasan banjir Ust Misnan mengutarakan persoalan tentang sebuah keluarga yang ditimpa ujian Allah yang berat. Keluarga tersebut mempunyai empat orang yang berpenyakit buah pinggang. Si kakak dan adik telah menemui Penciptanya akibat daripada penyakit buah pinggang yang dialami. Kesemua mereka berusia belasan dan dua puluhan tahun. Kini dua orang adik-beradik mereka menjalani rawatan hemodialisis 3 kali seminggu dengan pembiayaan Pusat Zakat Selangor. Keluarga ini juga menghadapi masalah kewangan kerana kedua-dua mereka tidak dapat bekerja kerana masalah penyakit yang dihadapi. Seorang saudara lelaki mereka yang bebas daripada penyakit ini yang menyara hidup mereka dan bekerja sebagai 'foreman'. Dalam masa yang sama dialah yang menghantar kedua-dua saudaranya menjalani rawatan hemodialisis. Ini menyebabkan pendapatannya selalu sahaja tidak konsisten kerana terpaksa meninggalkan kerja atas urusan tadi. Kami dimaklumkan YB Dr Yunus ADUN Sijangkang banyak membantu khususnya dalam aspek perubatan.
Agak memeranjatkan kami, bekalan air telah 3 tahun dipotong dengan tunggakan kira-kira RM800. Dalam tempoh itu, mereka mendapatkan bekalan air daripada jiran tetangga. Kami berbincang dan akhirnya bebarapa keputusan dibuat. Sdr Hasan yang bekerja di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan berusaha membantu untuk mendapatkan bantuan makanan bulanan daripada PKPS. Sdr Sarkam mendapatkan dana dari Surau dan orang perseorang. Ust Misnan akan mendapatkan bil air yang tertunggak untuk dijelaskan dengan memohon atau menggunakan dana Tabung Masjid alFalah, surau dan orang perseorangan.
Kira-kira jam 12.00 mlm kami pulang dengan rasa lega kerana sedikit sebanyak kami telah berusaha untuk mengurangkan bebanan warga kampung yang memerlukan. Begitulah di sebalik banjir kami sempat berbincang dan mencari jalan membantu warga yang pada pendapat kami amat memerlukan bantuan. Dan kami masih ada senarai warga yang memerlukan perhatian bukan sahaja daripada kami tetapi warga lain juga! Seseungguhnya kami amat mengalu-alukan warga prihatin turut bersama-sama kami membantu mereka yang memerlukan.

No comments: