9.40 mlm (21 Oktober 2008), Hj Misnan menelefon mohon bantuan untuk ke balai di Jln Sukefi yang dijadikan Pusat Penempatan banjir. Saya bergegas ke sana. Sampai di sana terus berjumpa Hj. Misnan, Bang Sarkam, Hasan, Ma'amin, Zaidun dan beberapa orang lagi. Di dalam balai ada dua keluarga yang berjumlah 14 orang telah berpindah kerana rumah mereka dinaiki air dan bahaya untuk didiami. Saya bertanya khabar dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan banjir. Saya hubungi Baha dan Mat Darindi untuk sama-sama membantu. Rakan lain telah hubungi pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah.
10.15 mlm - Datang sebuah kereta polis meninjau keadaan dan membuat laporan pusat penempatan banjir di Jalan Sukefi. Fauziah Hayat dan Hj. Basuki sampai di tempat kejadian. Kami membantu membuat penghadang jalan masuk betul-betul di simpang masuk ke Jalan Sukefi. Kami bertugas memberitahu orang awam bahawa Jalan Sukefi dinaiki air dan bahaya untuk kenderaan ringan melaluinya. Ada sesetengah pemandu yang yakin boleh melalui jalan tersebut akhirnya berpatah balik. Hujan gerimis pada waktu ini.
10.30 mlm - 6 kotak air minuman dibawa untuk keluarga terlibat. Mee goreng juga disediakan untuk mereka. Seorang rakan meninjau keadaan banjir.
10.45mlm - Azmi seorang Ahli Majlis Daerah datang meninjau. Saya, Baha & Zaidun berkawal di simpang tiga ke Jalan Sukefi. Rakan yang meninjau keadaan banjir menyatakan air naik lagi.
11.30 mlm - Sebuah kereta polis datang meninjau. Azmi dapat maklumat lebih seribu orang kini berada di penempatan banjir di Kebun Bharu. Lori JKR tiba untuk membuat penghadang laluan di Jalan Sukefi. Jalan Sukefi ditutup sepenuhnya.
11.55 mlm - Kenderaan Jabatan Kebajikan Masyarakat tiba membawa selimut dan bantuan yang berkaitan. Seramai 4 orang pegawai JKM mengagih bantuan dan mendapatkan maklumat mangsa banjir.
12.30 mlm - Sehingga jam ini mangsa banjir tidak bertambah. Alhamdulillah mereka mendapat bantuan sewajarnya daripada warga kampung dan JKM. Saya pulang ke rumah. Hj Misnan, Bang Sarkam, Zaidun dan beberapa orang lagi masih di balai.
*Jalan Sukefi merupakan jalan alternatif laluan ke Shah Alam/Kuala Lumpur tanpa perlu melalui Telok Panglima Garang dan Klang.
No comments:
Post a Comment