Thursday, January 1, 2009

Bantuan Persekolahan Anak Warga Kg Jenjarom

JKKK Kg Jenjarom telah menghulurkan bantuan persekolahan sebanyak RM200 kepada Sdr Rahman Dimin (pengusaha bengkel kereta) yang tidak lagi dapat bekerja menyara keluarga akibat sakit. Sungguhpun bantuan ini kecil nilainya, namun sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan beliau dalam menghadapi musim persekolahan 2009. Selain itu, pihak JKKK juga sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan seperti Pusat Zakat Selangor, Perbadanan Pertanian Selangor dan Jabatan Kebajikan. JKKK mengalu-alukan sumbangan warga Kg Jenjarom kepada beliau sama ada disalurkan terus kepadanya atau melalui JKKK.

JKKK juga sedang mempertimbangkan bantuan atau sumbangan kepada beberapa individu warga kampung yang bermasalah kewangan dalam persiapan mereka menghadapi persekolahan anak-anak. Sungguhpun JKKK mempunyai dana yang terbatas namun permasalahan warga kampung menjadi keutamaan kami untuk menghulurkan tangan memberikan bantuan. Kepada warga kampung seluruhnya marilah kita sama-sama membantu mereka. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima!

Demi memajukan warga kampung keseluruhannya marilah kita ketepikan perbezaan fahaman politik. Perbezaan politik tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama terutama sekali dalam memajukan anak bangsa kita sendiri sementelahan kita sama seagama dan sebangsa iaitu Islam dan Melayu. Sekiranya kita gembelingkan tenaga, kepakaran dan kebolehan kami percaya anak bangsa kita menjadi lebih maju dalam apa jua bidang yang diceburi. Ayuh, warga Kg Jenjarom kita sama-sama bangunkan kampung kita!

Gotong-royong membersihkan Balai Raya dan Tapak Pasar Malam

Anak-anak muda Kg Jenjarom turut serta bergotong-royong





Beberapa orang sedang mengecat tapak peniaga pasar malam

Tn Hj Misnan (Ketua Kampung) & Sdr Hasan sedang membersihkan jalan yang hendak dicat

Aktiviti gotong-royong dalam kalangan Ahli JKKK Kg Jenjarom dan AJK Biro JKKK Kg Jenjarom telah diadakan pada hari ini. Program ini diadakan bagi membersihkan kawasan Balai Raya dan mengecat semula petak peniaga pasar malam serta meracun rumput sekitarnya. Program yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi ini telah berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari. Kerjasama daripada semua pihak yang turut serta menjayakan program ini diucapkan terima kasih. Sesungguhnya usaha ini amat bermakna dalam usaha kita memajukan lagi Kg Jenjarom khususnya dan dapat mengeratkan silaturahim sesama ahli. Kami juga amat mengalu-alukan warga kampung agar bersama-sama kami membangunkan kampung kita yang tercinta ini sesuai dengan slogan 'Muafakat Membawa Berkat'.

Sunday, December 28, 2008

Salam Maal Hijrah 1430

JKKK Kg Jenjarom mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430. Semoga tahun baru ini membawa keberkatan kepada seluruh warga kampung. Insyaallah.

Maklumat Terkini Demam Chikungunya

Beberapa orang warga Kampung Jenjarom telah menghidap demam chikungunya antaranya En Hassan B Nasiron (Ahli JKKK) dan 5 orang ahli keluarganya, Tn Hj Jumhuri, beberapa ahli keluarga En Baroni serta beberapa lagi warga kampung. Sama-samalah kita berwaspada dengan ancaman nyamuk aedes yang boleh membawa kepada demam denggi dan chikungunya.

Saturday, December 20, 2008

Keadaan Terkini Projek Cili Tn Hj Lokman

Gambar di atas diambil pada 28 November 2008.
Sementara gambar di bawah diambil pada 20 Disember 2008.




Beginilah keadaan pokok cili yang semakin layu dan hampir mati!
JKKK Kg Jenjarom dan warga Kg Jenjarom amat bersimpati atas musibah ini.
Posting terdahulu tentang hal yang berkaitan:
http://jkkkkgjenjarom.blogspot.com/2008_11_01_archive.html

Reban Ayam En Saruddin Adam Ranap Menyembah Bumi

En. Saruddin Bin Hj Adam



Keadaan reban yang rebah menyembah bumi!

Pada 14 Disember 2008 kira-kira jam 1.00 petang reban ayam En Saruddin Hj Adam telah ranap menyembah bumi. Reban/Ladang ayam yang terletak di Lot 5827, Jalan Rancangan, Kg Jenjarom itu memuatkan kira-kira 10k ayam yang sedang membesar. Kira-kira 6k telah mati dan kerugian dianggarkan sebanyak RM280k. Namun, menurut beliau rebannya telah diinsurankan dan pihak insuran telah datang untuk menilai jumlah kerugian yang dialami.

JKKK Kg Jenjarom dan seluruh warga Kg Jenjarom merakamkan rasa simpati dan semoga En. Saruddin redha dan sabar menerima dugaan besar ini. Sesungguhnya setiap sesuatu kejadian itu mempunyai hikmahnya.