Thursday, January 1, 2009

Bantuan Persekolahan Anak Warga Kg Jenjarom

JKKK Kg Jenjarom telah menghulurkan bantuan persekolahan sebanyak RM200 kepada Sdr Rahman Dimin (pengusaha bengkel kereta) yang tidak lagi dapat bekerja menyara keluarga akibat sakit. Sungguhpun bantuan ini kecil nilainya, namun sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan beliau dalam menghadapi musim persekolahan 2009. Selain itu, pihak JKKK juga sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan seperti Pusat Zakat Selangor, Perbadanan Pertanian Selangor dan Jabatan Kebajikan. JKKK mengalu-alukan sumbangan warga Kg Jenjarom kepada beliau sama ada disalurkan terus kepadanya atau melalui JKKK.

JKKK juga sedang mempertimbangkan bantuan atau sumbangan kepada beberapa individu warga kampung yang bermasalah kewangan dalam persiapan mereka menghadapi persekolahan anak-anak. Sungguhpun JKKK mempunyai dana yang terbatas namun permasalahan warga kampung menjadi keutamaan kami untuk menghulurkan tangan memberikan bantuan. Kepada warga kampung seluruhnya marilah kita sama-sama membantu mereka. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima!

Demi memajukan warga kampung keseluruhannya marilah kita ketepikan perbezaan fahaman politik. Perbezaan politik tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama terutama sekali dalam memajukan anak bangsa kita sendiri sementelahan kita sama seagama dan sebangsa iaitu Islam dan Melayu. Sekiranya kita gembelingkan tenaga, kepakaran dan kebolehan kami percaya anak bangsa kita menjadi lebih maju dalam apa jua bidang yang diceburi. Ayuh, warga Kg Jenjarom kita sama-sama bangunkan kampung kita!

No comments: