Saturday, January 31, 2009

Kelas Pengajian Agama Untuk Kaum wanita

Biro Wanita yang diketuai oleh Pn Iswati Bt Ishak telah mengadakan kelas pengajian agama khusus untuk kaum wanita. Maklumat lanjut berhubung kelas tersebut adalah seperti di bawah:

Hari: Khamis
Masa: 3.00 ptg
Tempat: Balai Wanita, Kg Jenjarom (bersebelahan dengan Perpustakaan Desa Kg Jenjarom)
Pengajar: Ust Hj Ismail Mislam

Semua kaum wanita warga Kg Jenjarom diundang hadir.

Gotong-royong Membersihkan simpang Utama Kg Jenjarom

Biro Keceriaan JKKK Kg Jenjarom yang diketuai oleh Tn Hj Kamarudin Hj Sulaiman akan mengadakan gotong-royong di atas bagi membersihkan simpang-simpang utama di Kg Jenjarom. Maklumat lanjut berhubung gotong-royong tersebut adalah seperti di bawah:

Tarikh: 1 Feb. 2009
Hari: Ahad
Masa: 8.00 pg
Tempat berkumpul: Surau Hj Karim (Taklimat diberi untuk pengagihan tempat-tempat gotong-royong)
Jamuan makan diadakan selepas selesai gotong-royong di Surau Hj Karim dianggarkan dalam jam 12.30 tgh hari.

Warga Kg Jenjarom diundang untuk turut serta dalam gotong-royong ini.

"Muafakat Membawa Berkat"

Kecurian Menjadi-jadi di Kg Jenjarom

Akhir-akhir ini kejadian kecurian menjadi-jadi di kampung kita. Kejadian terbaru berlaku malam tadi kira-kira jam 4.05 pg di rumah Sdr Mesari Jasman (SU JKKK). Yang menjadi ironinya beliau baru pulang daripada mesyuarat berkaitan tentang keselamatan kampung khusus tentang kejadian kecurian yang menjadi-jadi bersama unit kawalan kampung dan beberapa rakan JKKK di rumah Tn Hj Mansor, Ketua Biro Keselamatan JKKK kira-kira jam 12.20 tgh mlm. Beliau terus di depan komputer sehingga jam 2.10 pg.

Jam 4.05 pg, 4 orang perompak menceroboh rumah beliau dan disedari namun gagal ditangkap. Dalam proses menangkap dan mengejar pencuri tersebut Sdr Mesari telah benjol di kepala, luka di mata dan sakit badan serta leher. Antara barangan yang sempat dicuri ialah sebuah handphone nokia, dompet duit, set kunci kereta Savy dan Citra (kunci ditemui semula di dlm stor). Sementara sebilah parang dan kasut pencuri tertinggal di rumah beliau. Kejadian ini telahpun dilaporkan kepada pihak polis.

Nampaknya kejadian kecurian yang berlaku akhir-akhir ini menunjukkan seolah-olah mereka begitu berani dan mencabar kita semua. Oleh itu, JKKK Kg Jenjarom ingin mengingatkan agar warga Kg Jenjarom sentiasa berwaspada dalam premis masing-masing dan kami di pihak JKKK melalui UKKK dengan kerjasama RELA serta warga kampung akan mengerakkan kawalan pada waktu malam.

Thursday, January 29, 2009

Mengapa Yahudi Bijak?

Dipetik tanpa suntingan drp: http://mengapa-yahudi-bijak.blogspot.com/


Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship dibeberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu “Mengapa Yahudi Bijak?”. Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, Engineering, musik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman diHollywood dan sebagainya.

Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebab nya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran?

Maka saya pon tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni. Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin.

Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, ugama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain.

Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah metamatik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang metamatik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, “ia, ini untuk anak saya yang masih didalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semuga ia menjadi genius apabila dewasa kelak” Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi, tanpa merasa jenoh beliau membuat latihan metamatik sehingga beliau melahirkan anak.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan korma bersama susu , dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak didalam kandungan. menurut beliau ini adalah adat orang orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.

Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yg sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.


Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi anda akan dihidangkan buah buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran disekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dam merokok diluar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yg cacat otak ( bodoh atau lembab). Suatu penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yg mendalami bidang genes dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. (Ironi nya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah …… tekalah sendiri..!)

Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anak anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever) Didalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain musik dan memahami nota notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak.

Ini menurut saintis Yahudi, gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius musik terdiri dari kaum Yahudi.

Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang!!!. Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak mem fokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.


Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) disini murid murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupon kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan engineering, idea itu akan dibawa ke institute tinggi di Politeknik dan Universiti.

Satu lagi yg di beri keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Diakhir tahun diuniversiti, para penuntut dibidang niaga dikehendaki melakukan projek dan memperaktik kanya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda(10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai ½ perniagaan didunia! Siapakah yg mencipta design Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksijan dikepala, banyak ugama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang orang Jepun, mereka sering menunduk nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yg pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!

Berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yg berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yg bernas, jawatan kuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yg perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell comptr, Cocacola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar dipersatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.

Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yg bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa jenerasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah siibu melakukan latihan metamatik yg mudah tetapi konsisten disamping mendengar musik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yg elok dan berhasiat yg baik untuk otak, menghayati musik sejak kecil adalah baik sekali untuk penumbuhan otak kanak kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yg memerlukan konsetrasi yg tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.

Merokok menjanjikan jenerasi yg moron (goblok) dan sudah tentu genes bodoh akan mengikut ke jenerasi siperokok. Lawatan saya ke Singapore pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, disini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7 !!! ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapore dan menkjubkan sekali!!! dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel, maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupon hakikat nya negeri Singapore hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!!

Anda mungkin muskil, benarkah merokok dapat melahirkan jenerasi goblok, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta, dimana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga kemusium hidung anda akan segera terbau asak rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ .70cts !!! dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyak kah universiti terdapat disana? Hasil apakah yg dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan metamatik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.

Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal ugama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Paraoh hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yg ingin saya ketengahkan ialah, mampu kah kita dapat melahirkan jenerasi yg bijak seperti Yahudi? Jawabanya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendididik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 jenerasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yg telah saya nyatakan diatas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esay sepanjang 5 mukasurat penuh. Esay nya hanyalah mengenai Mengapa saya gemarkan tomato!

Selamat sejahtera dan semuga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Dr. Stephen Carr Leon

Saturday, January 24, 2009

Mesyuarat Khas Masjid Al-Falah Kg Jenjarom

Mesyuarat Khas Masjid al-Falah Kg Jenjarom akan diadakan bagi memilih calon Jawatankuasa Masjid sesi 2009. Ahli qoriah Masjid al-Falah diundang menghadiri mesyuarat tersebut. Butiran lanjut berhubung mesyuarat tersebut adalah seperti di bawah:

Tarikh: 28 Januari 2008
Hari/Masa: Rabu malam Khamis selepas solat Isyak
Tempat: Masjid Al-Falah, Kg Jenjarom

JKKK Kg Jenjarom berharap Qoriah Masjid al-Falah akan datang bagi memilih calon yang berwibawa untuk menerajui Jawatankuasa Masjid tanpa mengira fahaman politik atau kepartian demi kemaslahatan warga kampung keseluruhannya. Calon-calon AJK masjid yang dipilih seharusnya mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik, berwawasan untuk memajukan anak Qoriah dan berkesan untuk melaksanakan program bagi meningkatkan kefahaman Islam yang LENGKAP DAN SYUMUL tanpa ada unsur-unsur kepentingan peribadi dalam menjalankan tugas mereka. Seluruh penduduk dan anak Qoriah diseru supaya menginsafi bahawa Ahli Jawatan Kuasa Masjid bukanlah suatu keistimewaan TETAPI suatu amanah untuk kesinambungan perjuangan Baginda Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda dalam mengimarahkan dan memartabatkan masjid bukan cuma untuk tempat ibadah khusus semata-mata.

Thursday, January 22, 2009

Empat warga Kg Jenjarom kembali kerahmatullah pada bulan Januari 2009

Sehingga hari ini 22 Januari 2009 seramai empat warga Kg Jenjarom telah kembali kerahmatullah sepanjang bulan Januari. JKKK Kg Jenjarom ingin merakamkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Moga keluarga yang terlibat sabar dengan ketentuan qada dan qadar Illahi.

Tuesday, January 20, 2009

Demam Chikungunya

Maklumat terkini yang diperoleh menunjukkan bilangan warga Kampung Jenjarom yang dihidapi penyakit demam chikungunya semakin ramai. Marilah kita berwaspada dengan ancaman nyamuk aedes yang boleh menyebarkan penyakit ini.

Rujuk posting berkaitan penyakit chikugunya: Klik di sini.

Jamuan Mesra Tahun Baru Cina 2009

Antara tetamu yang menikmati jamuan

YAB Tan Sri Khalid Ibrahim di pentas bersama YB2 yang lain

YAB Menteri Besar menyampaikan 'ang pau' kepada warga emas sempena Tahun Baru Cina

YAB Tan Sri Khalid Ibrahim menikmati jamuan. Di sebelah kiri beliau ialah YB Tian Chua

19 Januari 2009 - Jamuan Mesra Tahun Baru Cina 2009 telah diadakan di kawasan lapang hadapan kedai 99, Sg Jarom. Majlis yang dimulakan kira-kira jam 8.00 mlm itu telah dihadiri oleh kira-kira 2000 orang yang memenuhi 200 meja yang disediakan pihak penganjur. JKKK Kg Jenjarom serta warga kampung yang berkesempatan telah turut hadir bersama-sama pelbagai kaum dan anutan agama dalam jamuan ini. Turut hadir dalam jamuan ini ialah YB Philip Tan, ADUN Telok Datok, YB Lee Kim Sin, ADUN Kajang, YB Dr A Xavier Jayakumar EXCO Selangor, YB Hee Loy Sian, Ahli Parlimen PJ Selatan, YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu, YB Abdullah Sani Abdul Hamid, AP K. Langat, YB Teng Chang Kim, ADUN Sg Pinang merangkap Speaker DUN Selangor dan YAB Tan Sri Dato' Abdul Khalid Bin Ibrahim, Menteri Besar Selangor.

Semua YB telah berucap dalam jamuan tersebut termasuk YAB Dato' Menteri Besar yang turut menyampaikan 'ang pow' kepada warga emas yang hadir. Sesungguhnya jamuan ini membawa makna yang besar kepada perpaduan kaum kerana pelbagai kaum dengan anutan agama yang berbeza dapat bersama-sama menikmati jamuan dengan penuh kemesraan. JKKK Kg Jenjarom mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur khususnya kepada ketua kampung Sg Jarom yang menjadi tulang belakang kejayaan majlis tersebut. Di samping itu, kerjasama serta sikap ringan tangan penduduk Sg Jarom juga harus dipuji dan dicontohi kerana telah berjaya membina pintu gerbang yang sangat menarik di hadapan Balai Polis Jenjarom.

Monday, January 12, 2009

Laporan Kajian Kesan Pengajaran dan Pembelajan Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris

Pelbagai pihak telah memberikan pelbagai pandangan tentang PPSMI. Ada pihak yang menyokong PPSMI diteruskan dengan alasan dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan ada pihak pula yang tidak bersetuju PPSMI diteruskan dengan alasan menyebabkan kemerosotan prestasi pelajar khususnya pelajar luar bandar dalam mata pelajar Sains dan Matematik apabila diajar dalam Bahasa Inggeris. Mari kita baca kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik berkaitan dengan isu ini yang diketuai oleh Prof Emeritus Dato' Dr Isahak Haron yang bertajuk 'KESAN DASAR PENGAJARAN MATEMATIK DAN SAINS DALAM BAHASA INGGERIS DI SEKOLAH RENDAH'

PROFESOR EMERITUS DATO’ ISAHAK HARON (KETUA)
PROF. MADYA DR. ABDUL LATIF HJ, GAPOR
DR. MD NASIR BIN MASRAN
ENCIK ABDUL HALIM BIN IBRAHIM
DR. MARIAM BINTI MOHAMED NOR
KOD PENYELIDIKAN UPSI : 03-12-95-05
FAKULTI SAINS KOGNITIF DAN PEMBANGUNAN MANUSIA
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
APRIL, 2008

Klik untuk membaca kajian tersebut

Saturday, January 10, 2009

Program Sumbangan Beg dan Alat Tulis olah JKKK Kg Jenjarom


Penerima sumbangan bergambar bersama YB Philip Tan, Tn Hj Md Akhir Dahlan
Pen Kanan Kokurikulum, SK Jenjarom dan Ahli JKKK




Wartawan Sinar Harian turut membuat liputan program JKKK

10 Jan 2009 - 9.00 pg . JKKK Kg Jenjarom dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Jenjarom telah mengadakan Program penyampaian sumbangan beg dan alat tulis kepada pelajar miskin dan kurang mampu. Sumbangan telah disempurnakan oleh YB Philip Tan ADUN Telok Datok. Dalam ucapannya beliau menyatakan sumbangan daripada kerajaan Negeri Selangor adalah untuk mengurangkan sedikit sebanyak beban ibu bapa dalam persekolahan anak-anak. Seramai 200 orang pelajar dari tahun 1 hingga tahun 6 telah menerima beg dan alat tulis masing-masing.

Thursday, January 1, 2009

Cadangan Pembelian LCD Projector, Laptop dan Portable Screen Projector

Biro ICT JKKK Kg Jenjarom merancang untuk mendapatkan 'LCD projector', 'laptop' dan 'portable screen projector' untuk kegunaan JKKK dan Masjid Al-Falah. Selaras dengan era ICT ,penggunaannya sangat diperlukan terutama semasa membuat sesuatu persembahan multimedia sama ada untuk majlis-majlis tertentu dan ceramah-ceramah sama ada ceramah agama dan seumpamanya.

Sehubungan itu, Biro ICT sangat mengalu-alukan sumbangan warga kampung bagi membiayai kos pembelian peralatan tersebut. Sumbangan boleh dihulurkan kepada biro ICT menerusi no. telefon yang tertera pada senarai JKKK Kg Jenjarom. Amal jariah tuan-tuan amat kami hargai.

Bantuan Persekolahan Anak Warga Kg Jenjarom

JKKK Kg Jenjarom telah menghulurkan bantuan persekolahan sebanyak RM200 kepada Sdr Rahman Dimin (pengusaha bengkel kereta) yang tidak lagi dapat bekerja menyara keluarga akibat sakit. Sungguhpun bantuan ini kecil nilainya, namun sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan beliau dalam menghadapi musim persekolahan 2009. Selain itu, pihak JKKK juga sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada agensi berkaitan seperti Pusat Zakat Selangor, Perbadanan Pertanian Selangor dan Jabatan Kebajikan. JKKK mengalu-alukan sumbangan warga Kg Jenjarom kepada beliau sama ada disalurkan terus kepadanya atau melalui JKKK.

JKKK juga sedang mempertimbangkan bantuan atau sumbangan kepada beberapa individu warga kampung yang bermasalah kewangan dalam persiapan mereka menghadapi persekolahan anak-anak. Sungguhpun JKKK mempunyai dana yang terbatas namun permasalahan warga kampung menjadi keutamaan kami untuk menghulurkan tangan memberikan bantuan. Kepada warga kampung seluruhnya marilah kita sama-sama membantu mereka. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima!

Demi memajukan warga kampung keseluruhannya marilah kita ketepikan perbezaan fahaman politik. Perbezaan politik tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama terutama sekali dalam memajukan anak bangsa kita sendiri sementelahan kita sama seagama dan sebangsa iaitu Islam dan Melayu. Sekiranya kita gembelingkan tenaga, kepakaran dan kebolehan kami percaya anak bangsa kita menjadi lebih maju dalam apa jua bidang yang diceburi. Ayuh, warga Kg Jenjarom kita sama-sama bangunkan kampung kita!

Gotong-royong membersihkan Balai Raya dan Tapak Pasar Malam

Anak-anak muda Kg Jenjarom turut serta bergotong-royong





Beberapa orang sedang mengecat tapak peniaga pasar malam

Tn Hj Misnan (Ketua Kampung) & Sdr Hasan sedang membersihkan jalan yang hendak dicat

Aktiviti gotong-royong dalam kalangan Ahli JKKK Kg Jenjarom dan AJK Biro JKKK Kg Jenjarom telah diadakan pada hari ini. Program ini diadakan bagi membersihkan kawasan Balai Raya dan mengecat semula petak peniaga pasar malam serta meracun rumput sekitarnya. Program yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi ini telah berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari. Kerjasama daripada semua pihak yang turut serta menjayakan program ini diucapkan terima kasih. Sesungguhnya usaha ini amat bermakna dalam usaha kita memajukan lagi Kg Jenjarom khususnya dan dapat mengeratkan silaturahim sesama ahli. Kami juga amat mengalu-alukan warga kampung agar bersama-sama kami membangunkan kampung kita yang tercinta ini sesuai dengan slogan 'Muafakat Membawa Berkat'.