Sunday, September 21, 2008

MESRA USIA EMAS

1. Apakah tujuan program Mesra Usia Emas ini dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri?

Program Mesra Usia Emas ini bertujuan untuk memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bernilai RM 2,500.00 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas (yang telah mendaftar secara rasmi), selepas beliau disahkan meninggal dunia. Program ini membuktikan keprihatinan yang tinggi Kerajaan Negeri terhadap rakyatnya, khususnya golongan warga emas.

2. Bilakah tarikh program Mesra Usia Emas ini akan beroperasi secara rasmi?

Program Mesra Usia Emas ini dijangka akan beroperasi sekitar Oktober 2008, dan tertakluk kepada sebarang pengumuman rasmi dari semasa ke semasa . Ia telah dilancarkan secara rasmi pada 20 Jun 2008 yang lalu. Manakala Logo rasmi Mesra Emas pula (seperti yang telah dipaparkan di Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri) telah dilancarkan pada 30 Ogos 2008, sempena Sambutan Perayaan Ambang Merdeka, dan Perbarisan dan Perarakan Kemerdekaan ke-51 Peringkat Negeri Selangor

3. Siapakah kumpulan sasar yang boleh menyertai program Mesra Usia Emas ini?

Program ini terbuka kepada semua warga emas di Negeri Selangor yang telah berumur 60 tahun ke atas, DAN

- Lahir di Negeri Selangor ATAU

- Lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 ATAU

- Telah bermastautin di Negeri Selangor sekurang-kurangnya 15 tahun.

4. Bagaimanakah cara untuk menyertai Mesra Usia Emas?

Apabila ia telah beroperasi secara rasmi kelak, pemohon boleh berdaftar dengan mengisi dan menyerahkan kembali borang yang boleh didapati di Laman Web Rasmi Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat-pejabat Daerah&Tanah, Pejabat Penghulu, Pejabat ADUN dan Pengendali Mesra Usia Emas ini. Setiap permohonan yang dibekalkan dengan satu Kad Pendaftaran kepada warga emas tersebut.

Buat masa ini, Borang Maklumat Asas Pelanggan (BUKAN Borang Pendaftaran Rasmi) bagi menyertai Mesra Usia Emas boleh didapati dan diserahkan semula di semua Pusat Khidmat MES yang sedang beroperasi di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Shah Alam), Pejabat-pejabat Daerah & Tanah, Pihak-pihak Berkuasa Tempatan dan Pusat-pusat Khidmat ADUN di seluruh Negeri Selangor. Borang ini boleh didapati dengan percuma , tiada yuran pendaftaran, dan tiada sebarang dokumen sokongan perlu dikemukakan semasa mengemukakan Borang tersebut. Borang ini akan diserahkan kepada Pengendali Mesra Usia Emas apabila beroperasi secara rasmi kelak, dan tertakluk kepada tindakan yang diambil seterusnya oleh pihak Pengendali ini.

5. Apakah manfaat atau faedah yang diperoleh daripada menyertai program ini?

Program ini menyediakan manfaat perlindungan kepada warga emas yang telah mendaftar, di mana sejumlah wang tunai RM500.00 akan diterima oleh wasi dengan segera dalam tempoh 24 jam selepas pihak Pengendali polisi Mesra Usia Emas menerima laporan berlakunya kematian warga emas tersebut (atau selewat-lewatnya dalam tempoh 90 hari selepas berlakunya kematian). Manakala baki RM2,000.00 akan disediakan dalam bentuk cek oleh Pengendali Mesra Usia Emas sebaik sahaja lain-lain dokumen seperti salinan Sijil Kematian lengkap diterima.

6. Siapakah yang boleh membuat tuntutan ke atas manfaat perlindungan tersebut?

Tuntutan hendaklah dibuat oleh wasi (orang yang dilantik untuk menunaikan wasiat), seperti yang dinyatakan di dalam Borang Pendaftaran Rasmi semasa pendaftaran dibuat.

No comments: