Sunday, December 28, 2008

Salam Maal Hijrah 1430

JKKK Kg Jenjarom mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430. Semoga tahun baru ini membawa keberkatan kepada seluruh warga kampung. Insyaallah.

Maklumat Terkini Demam Chikungunya

Beberapa orang warga Kampung Jenjarom telah menghidap demam chikungunya antaranya En Hassan B Nasiron (Ahli JKKK) dan 5 orang ahli keluarganya, Tn Hj Jumhuri, beberapa ahli keluarga En Baroni serta beberapa lagi warga kampung. Sama-samalah kita berwaspada dengan ancaman nyamuk aedes yang boleh membawa kepada demam denggi dan chikungunya.

Saturday, December 20, 2008

Keadaan Terkini Projek Cili Tn Hj Lokman

Gambar di atas diambil pada 28 November 2008.
Sementara gambar di bawah diambil pada 20 Disember 2008.




Beginilah keadaan pokok cili yang semakin layu dan hampir mati!
JKKK Kg Jenjarom dan warga Kg Jenjarom amat bersimpati atas musibah ini.
Posting terdahulu tentang hal yang berkaitan:
http://jkkkkgjenjarom.blogspot.com/2008_11_01_archive.html

Reban Ayam En Saruddin Adam Ranap Menyembah Bumi

En. Saruddin Bin Hj Adam



Keadaan reban yang rebah menyembah bumi!

Pada 14 Disember 2008 kira-kira jam 1.00 petang reban ayam En Saruddin Hj Adam telah ranap menyembah bumi. Reban/Ladang ayam yang terletak di Lot 5827, Jalan Rancangan, Kg Jenjarom itu memuatkan kira-kira 10k ayam yang sedang membesar. Kira-kira 6k telah mati dan kerugian dianggarkan sebanyak RM280k. Namun, menurut beliau rebannya telah diinsurankan dan pihak insuran telah datang untuk menilai jumlah kerugian yang dialami.

JKKK Kg Jenjarom dan seluruh warga Kg Jenjarom merakamkan rasa simpati dan semoga En. Saruddin redha dan sabar menerima dugaan besar ini. Sesungguhnya setiap sesuatu kejadian itu mempunyai hikmahnya.

Thursday, December 18, 2008

Demam Chikungunya

Awas dengan demam chikungunya! Beberapa orang penduduk Kg Jenjarom telah dijangkiti penyakit ini. Di bawah butir-butir tentang penyakit ini untuk makluman warga kampung.


Demam chikungunya

Di laman ini kita akan membincangkan satu lagi jenis penyakit bawaan nyamuk yang kadang kala berlaku di Malaysia. Soalan-soalan dibawah ini adalah soalan yang kerap ditanya oleh sesiapa sahaja yang ingin mengetahui mengenai penyakit ini – Demam Chikungunya….Jadi manfaatkannya…

Apakah itu demam chikungunya?!

Virus Chikungunya pertama kali dijumpai di Tanzania, Afrika Timur tahun 1952. Tidak hairanlah apabila namanya pun berasal dari bahasa Swahili. Ertinya adalah yang berubah bentuk atau bongkok. Postur badan pesakitnya memang kebanyakan membongkok akibat kesakitan yang teramat di persendian tangan dan kaki. Virus ini termasuk keluarga Togaviridae, Genus alphavirus, dan dibawa oleh Nyamuk Aedes Aegypti.

Sejauh manakah kekerapan berlakunya penyakit ini?!

Sejurus penemuan virus ini di Afrika, epidemik berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia. Sejak tahun 2003, terdapat beberapa kes berlaku di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang meningkat ketara selepas bencana tsunami pada Disember 2004.

Memetik laporan AFP, sebanyak 148 kematian (secara langsung dan tidak langsung) telah dilaporkan sehingga Mac lalu di La Reunion dengan satu per tiga daripada penduduknya yang berjumlah 777,000 jatuh sakit disebabkan oleh virus ini. Selain insiden yang mula dikesan penularannya sejak 1 April lalu di Bagan Panchor, Pantai Remis, Perak, negara pernah dilaporkan dua kali menghadapi penyakit ini iaitu pada tahun 1999 di Pelabuhan Klang melibatkan 27 mangsa (majoritinya pendatang asing). Kes chikungunya yang pertama sekali di Malaysia pernah dilaporkan sekitar tahun 1960-an.

Bagaimanakah virus ini merebak?!

Penyakit chikungunya boleh dikatakan ‘bersaudara’ dengan penyakit demam denggi dan demam denggi berdarah kerana dibawa oleh pembawa yang sama iaitu nyamuk aedes sama ada aegypti mahupun albopictus. Masa inkubasi virus ini ialah dua sampai empat hari, sementara manifestasinya tiga sampai sepuluh hari.

Bezanya, jika virus denggi menyerang pembuluh darah, virus chikungunya menyerang sendi dan tulang.

Nyamuk aedes lazimnya akan menggigit seseorang yang telah dijangkiti oleh virus chikungunya dan memindahkan darah berkenaan kepada seorang mangsa lain yang sihat.

Apakah tanda-tanda orang yang telah terkena jangkitan ini?!

Simptom-simptom penyakit chikungunya secara klinikalnya sangat mirip kepada demam denggi. Ia lazimnya dimulai dengan demam tinggi secara mendadak sehingga mencecah 39 celsius. Simptom lain termasuklah kesejukan, menggigil, ruam pada kaki, tangan dan badan, kurang selera makan, perut meragam, sakit kepala, mata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

Gejala paling biasa adalah sakit sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.Jangkitan chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Mujurlah, penyakit chikungunya tidak menyebabkan kematian seperti denggi berdarah. Ia dikategorikan sebagai penyakit yang boleh sembuh dengan sendirinya. Kalaupun berlaku kematian, ia adalah dalam jumlah yang kecil.

Jadi, kenapa perlu bimbang?!

Dalam tempoh seminggu, pesakit berada dalam keadaan kesakitan yang akut (sangat teruk) sehingga tidak boleh bergerak atau berjalan (kelumpuhan sementara) sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya. Pesakit biasanya akan mengalami demam selama lima hingga tujuh hari sebelum beransur-ansur hilang. Ia bagaimanapun boleh berulang kembali. Jangan lupa, chikungunya sekeluarga dengan denggi berdarah. Tambahan pula, gejalanya hampir serupa. Ia juga boleh melemahkan sistem imun tubuh, menyebabkan badan mudah dijangkiti oleh penyakit-penyakit lain

Apakah seseorang itu dijangkiti virus ini beberapa kali dalam hidup?!

Tidak. Mana-mana individu yang pernah dijangkiti virus ini secara semula jadinya akan membina daya ketahanan yang bertahan lama.

Bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin mengalami sakit sendi yang berpanjangan dari beberapa minggu ke bulan lamanya dan berulang-ulang dalam tempoh yang agak lama, disebabkan oleh reaksi sendi dan bukannya jangkitan virus.

Adakah seseorang itu yang telah dijangkiti virus ini boleh menularkan penyakit ini kepada orang lain?!

Tidak. Seseorang yang telah dijangkiti tidak boleh menyebarkan penyakitnya itu secara langsung kepada orang lain. Proses penularan hanya berlaku menerusi nyamuk pembawa.

Adakah ia boleh dirawat?!

Seperti demam denggi berdarah, belum terdapat ubat-ubatan mahupun vaksin bagi mencegah penyakit chikungunya. Rawatan sedia ada yang diberikan hanya bersifat simptomatik (sokongan, mengikut gejala bagi mengurangkan kesakitan).

Misalnya, pesakit diberikan ubat demam atau penahan sakit. Pesakit dinasihatkan banyakkan minum air dan istirehat yang cukup.

Pesakit akan diasingkan dan seboleh-bolehnya elakkan daripada kemungkinan terdedah kepada digigit nyamuk, sebagai salah satu usaha mencegah penyebaran virus itu kepada orang lain.

Bagaimanakah hendak mencegah virus ini dari terus menjangkiti orang lain?!

Memandangkan tiada rawatan aktif mahupun rawatan pencegahan penyakit chikungunya, satu satunya cara mengelakkan jangkitan adalah dengan mengurangkan pendedahan terhadap jangkitan nyamuk ke tahap maksimum. Ini termasuklah memusnahkan sarang pembiakan larva bagi menghentikan rantaian kitar hidup dan penularannya. Antara pelbagai pilihan lain bagi melindungi diri anda daripada gigitan nyamuk termasuklah:

* Tidur menggunakan kelambu
* Pakai baju berlengan panjang atau berseluar panjang terutamanya ketika berada di luar
  rumah pada waktu senja bagi mengelakkan pendedahan langsung kulit terhadap gigitan 
  nyamuk aedes
* Pasang penghadang nyamuk pada tingkap
* Pasangkan ubat nyamuk lingkaran, elektrik atau menggunakan semburan racun serangga
* Biarkan pengudaraan berlaku sama ada dengan kipas angin atau alat penghawa dingin
* Sapu krim repelen serangga yang disahkan selamat pada kulit dan pakaian.

Sumber: http://erfi46.multiply.com/journal/item/44

Kursus Pelan Tindakan dan Pembangunan JKKK Kampung Daerah Kuala Langat

Peserta Kursus bergambar bersama Pegawai Daerah Kuala Langat Y.Bhg Tuan Ismawi B. Kasbi

Ketua Kg Jenjarom, Tn Hj Misnan menerima sijil Penyertaan Kursus



Peserta Kursus sedang bersenam

Kursus diadakan di Hotel Impian, Morib dari 17 - 19 Disember 2008 anjuran Bahagian Pembangunan, Pejabat Daerah Kuala Langat untuk Ketua Kampung dan setiausaha JKKK.

Tuesday, December 16, 2008

Pelajar Cemerlang SK Jenjarom diraikan di Hotel De Palma, Shah Alam

Pelajar bergambar kenang-kenangan bersama barisan guru SKJ

Guru Besar En Zainal Ulum turut diraikan sempena hari jadi beliau yang ke-54

Pelajar menerima lencana 'Gold Beyond Winner' drp YDP PIBG, En Md Noor Radiman

Pelajar menjamu selera

15 Disember - Seramai 29 pelajar cemerlang UPSR yang menerima 5A telah sama-sama meraikan kejayaan mereka bersama dengan guru besar, guru penolong kanan, dan guru-guru yang mengajar mereka. Program yang julung-julung kali diadakan ini tercerna hasil daripada buah fikiran pelajar sendiri serta guru-guru.

Program diadakan di Hotel De Palma, Shah Alam bermula pada jam 8.00 malam. Para pelajar berasa amat bertuah kerana ada antara mereka yang buat pertama kalinya makan malam di hotel dan dapat pula makan bersama-sama guru dan pentadbir sebelum mereka meninggalkan alam persekolahan rendah untuk ke sekolah menengah. Tentunya program ini akan menjadi kenangan yang amat manis untuk mereka.

JKKK Kg Jenjarom amat berbangga atas kejayaan anak-anak dan diucapkan tahniah kepada mereka serta seluruh warga pendidik SK Jenjarom. Sesungguhnya program seperti ini amat baik dan perlu diteruskan sebagai salah satu cara penghargaan atas sesuatu kejayaan yang diperoleh.

Monday, December 15, 2008

Program Transformasi dan Penggemblingan Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat. Edisi Kemaskini pada 16 Disember 2008

Juara Pertandingan Boling Kelapa En Marsom

Pertandingan Melukis Kanak-kanak

Pertandingan Masakan


Peserta Pertandingan Kuiz



Peserta Pertandingan Sukeneka


Urusetia Program

Penghakiman Pertandingan Masakan

Program diadakan pada:
Tarikh: 16 Disember 2008
Masa: 8.00 pagi - 4.30 ptg
Tempat: Dewan Serbaguna Kg Jenjarom
Anjuran: Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat
Pelbagai acara menarik diadakan seperti pertandingan memasak, kuiz tani, pertandingan landskap bumi hijau, gerai pameran dan jualan serta sukaneka.

Warga Kg Jenjarom dijemput hadir untuk memeriahkan program di atas.

Thursday, December 11, 2008

Jamuan Makan Sempena Hari Raya Korban

Kumpulan Nasyid Al-Falah








9.00 mlm, 10 Disember - Majlis Jamuan Makan Sempena Hari Raya Korban telah diadakan dengan jayanya. Antara tetamu yang datang ialah YB Philip Tan, ADUN Telok Datok, Penghulu Tg 12, Ketua Balai Polis Jenjarom, Setiausaha Majlis Daerah Kuala Langat, dan Sdr Azmi Ahli Majlis Daerah Kuala Langat.

Tetamu disajikan dengan hidangan nasi beriani, ayam masak merah, daging kurma, bubur kacang, cendol dan sebagainya. Jamuan diserikan dengan persembahan marhaban oleh kumpulan al-Falah.

JKKK mengucapkan terima kasih kepada tetamu yang hadir dan semua pihak yang menjayakan program ini.

Wednesday, December 10, 2008

Program Korban JKKK dan SK Jenjarom



Hari ini dua program korban telah dilangsungkan di Kampung Jenjarom. Program pertama dianjurkan oleh JKKK Kg Jenjarom berjumlah 2 ekor lembu dan Sekolah Kebangsaan Jenjarom 4 ekor lembu. Program yang dianjurkan oleh JKKK diteruskan dengan aktiviti masakan untuk Jamuan Hari Raya Korban yang akan diadakan pada sebelah malam di Dewan Serbaguna Kg Jenjarom. Aktiviti melapah dan memasak diadakan di rumah Sdr Sarkam. Sementara program anjuran SK Jenjarom diadakan di perkaranagan SK Jenjarom.

Kedua-dua program ini bermula kira-kira jam 8.30 pg. Kerjasama warga kampung dan warga sekolah dalam menjayakan program ini amat terpuji. Tanpa sumbangan tenaga mereka tidak mungkin program seperti ini dapat dilaksanakan.

JKKK Kg Jenjarom mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Kg Jenjarom dan warga sekolah yang bersama-sama menjayakan program ini.

Monday, December 8, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha 1429H

JKKK Kg Jenjarom mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha 1429H kepada warga Kg Jenjarom khususnya dan seluruh umat Islam amnya.

Tahun ini sebanyak 37 ekor lembu akan dikorbankan termasuk 2 ekor oleh JKKK Kg Jenjarom. Amalan gotong-royong dan kerjasama oleh warga Kg Jenjarom amat terpuji. Tanpa mengira fahaman politik warga Kg Jenjarom bersama-sama melapah lembu yang disembelih. Amalan terpuji ini sesungguhnya menjadi kekuatan kepada JKKK untuk terus bersama-sama membangunkan kampung kita yang tercinta ini.

Tuesday, December 2, 2008

UNDANGAN KE MAJLIS JAMUAN SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDILADHA 13 ZULHIJJAH 1429H, ANJURAN JKKK KAMPUNG JENJAROM

Sukacita warga Kg Jenjarom diundang ke majlis yang tersebut di atas anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jenjarom seperti keterangan berikut:-

Tarikh: 10 Disember 2008 bersamaan 13 Zulhijjah 1429H (Rabu)

Tempat: Dewan Serbaguna Kampung Jenjarom

Masa: Jam 8.45 malam (selepas Solat Isya’ di Masjid Al-Falah Kg Jenjarom)

Aturcara: * Ucapan Pengerusi - Jam 8.55 mlm.

* Bacaan Doa - Jam 9.05 mlm.

* Ucapan Ketua Kampung - Jam 9.15 mlm.

* Takbir beramai-ramai & Persembahan Marhaban Jam 9.30 mlm.

* Jamuan Hari Raya ‘Idiladha - Jam 9.45 mlm.

* Majlis Bersurai - Jam 11.30 mlm

Semoga dengan kehadiran Tuan/Puan dan tetamu undangan akan bertambah seri dan memeriahkan lagi majlis ini.

Friday, November 28, 2008

Kelas Tuisyen JKKK Kg Jenjarom Bermula Hari ini




Kelas bermula dari jam 8.00 pg - 11.00 pg. Seramai kira-kira 23 orang pelajar calon UPSR 2009 mengikuti kelas tuisyen Matematik oleh Pn. Hjh Masidah bertempat di Balai Wanita. Kelas Bahasa Inggeris dan Sains dijangka dimulakan pada minggu hadapan.

Banjir di Kg jenjarom







Banjir telah melanda Kg Jenjarom lagi. Kira-kira 15 keluarga terlibat yang menyebabkan air memasuki rumah mereka. Paling terkesan ialah Tn Hj Lokman yang mengusahakan tanaman 2000 pokok cili dan sedang dalam proses menuai hasilnya. Tanaman cili tersebut dijangka akan rosak atau mati disebabkan banjir. Menurut Tn. Hj Lokman beliau mengeluarkan modal kira-kira RM14k untuk memulakan usaha penanaman cilinya yang akan musnah angkara banjir.
JKKK Kg Jenjarom merakamkan rasa penuh simpati kepada semua mangsa banjir. Semoga mereka tabah menghadapinya.

Kehadiran YB Abdullah Sani Ahli Parlimen Kuala Langat , YB Philip Tan ADUN Telok Datok, YB Hasiman ADUN Morib, Sdr Azmi Ahli Majlis Daerah K. Langat, Tn Hj Misnan Ketua Kampung Jenjarom, JKKK yang terdiri daripada Tn Hj Basuki, Tn Hj Mansor, Tn Hj Adni, Sdr Sarkam, Sdr Hassan, dan orang perseorangan sedikit sebanyak memberi sokongan moral kepada mangsa banjir. Selain itu pihak YB dan JKKK akan mengusahakan bantuan yang sewajarnya kepada semua mangsa banjir.