Saturday, May 9, 2009

Pendaftaran Masuk Tingkatan Enam Rendah 2009

Pendaftaran masuk Tingkatan Enam Rendah sesi 2009 akan diadakan bermula pada 9.00 pagi ,11 Mei 2009. Sekolah di daerah Kuala Langat yang menawarkan kelas Tingkatan Enam ialah SMK Telok Panglima Garang, SMK Sg Manggis dan SMK Telok Datok. Calon-calon boleh menyemak tawaran kemasukan ke Tingkatan Enam di alamat URL berikut: http://apps.emoe.gov.my/form6/semakanform6/ atau boleh datang ke sekolah yang berdekatan dengan sekolah anda untuk menyemak nama anda.

Friday, March 27, 2009

Laporan Bergambar Sambutan Maulidur Rasul Kg Jenjarom















27 Mac 2009 - Kira-kira 500 warga Kg Jenjarom telah bersama-sama menyertai perarakan sempena Maulidur Rasul. Sambutan Maulidur Rasul bermula dengan solat Maghrib berjemaah di Masjid Al Falah. Kemudian semua warga berkumpul di dataran masjid dengan diketuai oleh Ustaz Nahar Yusuf dan Ustaz Azhari Jumingan seterusnya berarak dengan berselawat dari masjid ke Sekolah Kebangsaan Jenjarom. Sepanduk yang mewakili surau di Kg jenjarom mewarnai lagi perarakan ini. Warga kampung yang terdiri daripada semua golongan daripada warga emas sehinggalah kanak-kanak lelaki dan wanita sama-sama menyertai perarakan ini. Kemudian semua warga kampung solat Isyak berjemaah.

Selesai solat Isyak, Ustaz Azman Abd Halim menyampaikan ceramah yang berkisar tentang semangat disebalik perayaan maulidur rasul yang perlu dihayati bersama. Sebelum ceramah bermula kumpulan Al Falah telah menyampaikan marhaban. Ceramah yang bermula kira-kira 9.15 mlm berakhir jam 10.30 mlm dan diakhiri dengan jamuan makan.

Thursday, March 26, 2009

Sambutan Maulidur Rasul S.A.W

Jawatankuasa Masjid Al Falah, JKKK, JKKKP, Pengerusi-pengerusi Surau dan Pengerusi-pengerusi Pertubuhan di Kampung Jenjarom dengan hormatnya mempersilakan warga Kg Jenjarom untuk menyertai Program Perarakan Sambutan Maulidur Rasul S.A.W 1430H pada:
Tarikh: 27 Mac 2009 bersamaan 30 Rabiul Awal 1430H
Hari: Jumaat
Tempat: Masjid Al Falah, Kg Jenjarom
Masa: Selepas solat Maghrib (8.00 malam)
Pakaian: (L) Baju Melayu, (P) Baju Kurung
Atur Cara:
- Solat Maghrib berjemaah
- Perarakan bermula di Dataran Masjid AlFalah ke padang SK Jenjarom
- Balik semula ke Masjid Al Falah
- Solat Isyak berjemaah
- Ceramah oleh: Ustaz Azman Abdul Halim (Penceramah bebas)
- Jamuan (Kenduri)
- Bersurai

Saturday, March 21, 2009

Keputusan SPM dan STPM 2009

JKKK Kg Jenjarom mengucapkan tahniah atas kejayaan warga Kg Jenjarom khususnya yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM dan STPM 2008. Sesungguhnya kejayaan anda akan menjadi titik mula untuk terus berjaya dalam pelajaran dan seterusnya dalam hidup anda. Kami amat berbangga atas kejayaan yang anda peroleh semoga akan menjadi inspirasi kepada adik-adik yang lain untuk mencapai kejayaan seperti anda. Kini ramai anak-anak warga kampung yang berada di institusi pendidikan tinggi sama ada di dalam mahupun luar negara. Kepada warga kampung yang telah berjaya dalam apa juga kerjaya semoga dapat bersama-sama kami membantu memajukan kampung kita khususnya dalam membina modal insan. Kami berharap perbezaan pegangan politik sekiranya ada tidak menjadi penghalang ke arah pembangunan modal insan warga kampung melalui pelbagai bentuk dan cara. Sementelahan JKKK bukanlah satu organisasi politik untuk dipolitikkan.

Kepada anak-anak warga kampung yang kurang cemerlang keputusan SPM dan STPM mereka janganlah putus asa. Sesungguhnya kejayaan tidak semestinya datang dalam sekali cubaan. Malah ramai yang berjaya setelah belajar daripada kegagalan. Seorang profesor universiti yang mendapat anugerah sempena maulidur rasul yang lalu misalnya, berjaya setelah mengambil SPM sebanyak 6 kali. Kisah ini boleh kita jadikan iktibar paling baik seandainya kita berhasrat untuk berjaya dalam pendidikan.

Anak-anak warga kampung yang ingin membuat semakan permohonan ke universiti dan seumpamanya melalui internet bolehlah hubungi Sdri Fauziah dan Sdr Ruzi. (rujuk senarai JKKK) Mereka sedia membantu.

Thursday, March 12, 2009

Hasil Kempen Bumi Hijau - Edisi Kemas kini

Kacang Buncis

Petola


Bayam - kurang subur




Kacang Panjang

Pada 22 November 2008 JKKK Kg Jenjarom telah mengadakan Hari Bertemu Pelanggan yang antara lain programnya ialah penerangan tentang Kempen Bumi Hijau yang diadakan oleh Jabatan Pertanian dan pada hari tersebut penyampaian sebuah beg berisi benih sayuran dan baja diberikan kepada warga kampung yang mendaftar dalam kempen tersebut. Di atas ialah antara hasil yang diperoleh oleh seorang warga kampung daripada program Kempen Bumi Hijau yang telah diadakan. Sesungguhnya memang berbaloi apabila kita berbudi dengan tanah.

Monday, March 9, 2009

Gerakan GMP kepada Yang di-Pertuan Agong

Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong
Gerakan Mansuh PPSMI
Mon | Mar 09, 09 | 3:45:02 pm MYT

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.


MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.

Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?

Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!

Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.

Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.

Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.

Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.

Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.

Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.

Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato� Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).

Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.

Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.

Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.

Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah. _


Dipetik tanpa ubah suai.

Pentauliahan Pengerusi JKKK dan Ahli JKKK Negeri Selangor


Sempena Majlis Sambutan 1 Tahun Kerajaan Baharu Selangor yang diadakan pada 8 Mac 2009 bersamaan hari Ahad bertempat di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor semua Ketua Kampung/Pengerusi JKKK dan Ahli JKKK Negeri Selangor telah menerima tauliah mereka daripada Y.A.B Tan Sri Dato' Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Seramai kira-kira 6000 Pengerusi dan Ahli JKKK menghadiri majlis tersebut.

JADUAL DAN PETA LALUAN
PROGRAM WHISTLE STOP DI KUALA LANGAT
SEMPENA SAMBUTAN SATU TAHUN KERAJAAN BAHARU SELANGOR
www.selangor.gov.my
17 Mac Melibatkan 2 laluan :

Laluan 1 : Homestay Banghuris- 2.00 ptg
Laluan 2 : Bazaar Banting - 3.00 ptg


Laluan 1 : Bazaar Banting - 5.00 ptg
Laluan 2 : Hotel Impian Morib - 5.30 ptg

Semua dijemput hadir.



Wednesday, February 4, 2009

Kecurian di Kg Jenjarom

Pagi ini 3 buah rumah telah dimasuki pencuri. Di 2 buah rumah pencuri gagal mendapat sebarang hasil kerana disedari tuan rumah tetapi di rumah En Buang sarpon yang akan mendadakan majlis perkahwinan hujung minggu ini sempat mengambil beg tangan isterinya. Kira-kira jam 5.00 pg isteri beliau yang terbangun mendapati susuk tubuh seorang lelaki di hadapannya. Pencuri yang menyedari kehadirannya yang tidak diundang disedari telah mengambil langkah seribu cabut lari sempat membawa beg tangan yang mengandungi wang tunai, kad pengenalan, lesen kereta dan kad kredit. Kejadian seumpama ini juga berlaku di kampung-kampung lain. Misalnya rumah seorang rakan di Sijangkang telah dimasuki pencuri kira-kira jam 4.30 pg hari Isnin. Kita sentiasa perlu berwaspada! Pencuri / perompak tidak memilih mangsa!

Saturday, January 31, 2009

Kelas Pengajian Agama Untuk Kaum wanita

Biro Wanita yang diketuai oleh Pn Iswati Bt Ishak telah mengadakan kelas pengajian agama khusus untuk kaum wanita. Maklumat lanjut berhubung kelas tersebut adalah seperti di bawah:

Hari: Khamis
Masa: 3.00 ptg
Tempat: Balai Wanita, Kg Jenjarom (bersebelahan dengan Perpustakaan Desa Kg Jenjarom)
Pengajar: Ust Hj Ismail Mislam

Semua kaum wanita warga Kg Jenjarom diundang hadir.

Gotong-royong Membersihkan simpang Utama Kg Jenjarom

Biro Keceriaan JKKK Kg Jenjarom yang diketuai oleh Tn Hj Kamarudin Hj Sulaiman akan mengadakan gotong-royong di atas bagi membersihkan simpang-simpang utama di Kg Jenjarom. Maklumat lanjut berhubung gotong-royong tersebut adalah seperti di bawah:

Tarikh: 1 Feb. 2009
Hari: Ahad
Masa: 8.00 pg
Tempat berkumpul: Surau Hj Karim (Taklimat diberi untuk pengagihan tempat-tempat gotong-royong)
Jamuan makan diadakan selepas selesai gotong-royong di Surau Hj Karim dianggarkan dalam jam 12.30 tgh hari.

Warga Kg Jenjarom diundang untuk turut serta dalam gotong-royong ini.

"Muafakat Membawa Berkat"

Kecurian Menjadi-jadi di Kg Jenjarom

Akhir-akhir ini kejadian kecurian menjadi-jadi di kampung kita. Kejadian terbaru berlaku malam tadi kira-kira jam 4.05 pg di rumah Sdr Mesari Jasman (SU JKKK). Yang menjadi ironinya beliau baru pulang daripada mesyuarat berkaitan tentang keselamatan kampung khusus tentang kejadian kecurian yang menjadi-jadi bersama unit kawalan kampung dan beberapa rakan JKKK di rumah Tn Hj Mansor, Ketua Biro Keselamatan JKKK kira-kira jam 12.20 tgh mlm. Beliau terus di depan komputer sehingga jam 2.10 pg.

Jam 4.05 pg, 4 orang perompak menceroboh rumah beliau dan disedari namun gagal ditangkap. Dalam proses menangkap dan mengejar pencuri tersebut Sdr Mesari telah benjol di kepala, luka di mata dan sakit badan serta leher. Antara barangan yang sempat dicuri ialah sebuah handphone nokia, dompet duit, set kunci kereta Savy dan Citra (kunci ditemui semula di dlm stor). Sementara sebilah parang dan kasut pencuri tertinggal di rumah beliau. Kejadian ini telahpun dilaporkan kepada pihak polis.

Nampaknya kejadian kecurian yang berlaku akhir-akhir ini menunjukkan seolah-olah mereka begitu berani dan mencabar kita semua. Oleh itu, JKKK Kg Jenjarom ingin mengingatkan agar warga Kg Jenjarom sentiasa berwaspada dalam premis masing-masing dan kami di pihak JKKK melalui UKKK dengan kerjasama RELA serta warga kampung akan mengerakkan kawalan pada waktu malam.

Thursday, January 29, 2009

Mengapa Yahudi Bijak?

Dipetik tanpa suntingan drp: http://mengapa-yahudi-bijak.blogspot.com/


Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemanship dibeberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu “Mengapa Yahudi Bijak?”. Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, Engineering, musik, saintis dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman diHollywood dan sebagainya.

Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebab nya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran?

Maka saya pon tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni. Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin.

Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, ugama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain.

Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah metamatik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang metamatik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, “ia, ini untuk anak saya yang masih didalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semuga ia menjadi genius apabila dewasa kelak” Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi, tanpa merasa jenoh beliau membuat latihan metamatik sehingga beliau melahirkan anak.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan korma bersama susu , dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan penumbuhan otak anak didalam kandungan. menurut beliau ini adalah adat orang orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.

Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yg sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.


Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi anda akan dihidangkan buah buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran disekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dam merokok diluar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel, siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yg cacat otak ( bodoh atau lembab). Suatu penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yg mendalami bidang genes dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. (Ironi nya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah …… tekalah sendiri..!)

Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anak anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever) Didalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain musik dan memahami nota notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak.

Ini menurut saintis Yahudi, gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius musik terdiri dari kaum Yahudi.

Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak anak di California, ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang!!!. Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak mem fokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.


Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) disini murid murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupon kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan engineering, idea itu akan dibawa ke institute tinggi di Politeknik dan Universiti.

Satu lagi yg di beri keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Diakhir tahun diuniversiti, para penuntut dibidang niaga dikehendaki melakukan projek dan memperaktik kanya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda(10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai ½ perniagaan didunia! Siapakah yg mencipta design Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksijan dikepala, banyak ugama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang orang Jepun, mereka sering menunduk nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yg pandai? Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!

Berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yg berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yg bernas, jawatan kuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yg perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell comptr, Cocacola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar dipersatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.

Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yg bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa jenerasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah siibu melakukan latihan metamatik yg mudah tetapi konsisten disamping mendengar musik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yg elok dan berhasiat yg baik untuk otak, menghayati musik sejak kecil adalah baik sekali untuk penumbuhan otak kanak kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yg memerlukan konsetrasi yg tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.

Merokok menjanjikan jenerasi yg moron (goblok) dan sudah tentu genes bodoh akan mengikut ke jenerasi siperokok. Lawatan saya ke Singapore pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, disini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7 !!! ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapore dan menkjubkan sekali!!! dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel, maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupon hakikat nya negeri Singapore hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!!

Anda mungkin muskil, benarkah merokok dapat melahirkan jenerasi goblok, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta, dimana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga kemusium hidung anda akan segera terbau asak rokok! Dan harga rokok? Cuma US$ .70cts !!! dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah jutaan orang berapa banyak kah universiti terdapat disana? Hasil apakah yg dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan metamatik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.

Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal ugama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Paraoh hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yg ingin saya ketengahkan ialah, mampu kah kita dapat melahirkan jenerasi yg bijak seperti Yahudi? Jawabanya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendididik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 jenerasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yg telah saya nyatakan diatas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esay sepanjang 5 mukasurat penuh. Esay nya hanyalah mengenai Mengapa saya gemarkan tomato!

Selamat sejahtera dan semuga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Dr. Stephen Carr Leon

Saturday, January 24, 2009

Mesyuarat Khas Masjid Al-Falah Kg Jenjarom

Mesyuarat Khas Masjid al-Falah Kg Jenjarom akan diadakan bagi memilih calon Jawatankuasa Masjid sesi 2009. Ahli qoriah Masjid al-Falah diundang menghadiri mesyuarat tersebut. Butiran lanjut berhubung mesyuarat tersebut adalah seperti di bawah:

Tarikh: 28 Januari 2008
Hari/Masa: Rabu malam Khamis selepas solat Isyak
Tempat: Masjid Al-Falah, Kg Jenjarom

JKKK Kg Jenjarom berharap Qoriah Masjid al-Falah akan datang bagi memilih calon yang berwibawa untuk menerajui Jawatankuasa Masjid tanpa mengira fahaman politik atau kepartian demi kemaslahatan warga kampung keseluruhannya. Calon-calon AJK masjid yang dipilih seharusnya mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik, berwawasan untuk memajukan anak Qoriah dan berkesan untuk melaksanakan program bagi meningkatkan kefahaman Islam yang LENGKAP DAN SYUMUL tanpa ada unsur-unsur kepentingan peribadi dalam menjalankan tugas mereka. Seluruh penduduk dan anak Qoriah diseru supaya menginsafi bahawa Ahli Jawatan Kuasa Masjid bukanlah suatu keistimewaan TETAPI suatu amanah untuk kesinambungan perjuangan Baginda Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda dalam mengimarahkan dan memartabatkan masjid bukan cuma untuk tempat ibadah khusus semata-mata.

Thursday, January 22, 2009

Empat warga Kg Jenjarom kembali kerahmatullah pada bulan Januari 2009

Sehingga hari ini 22 Januari 2009 seramai empat warga Kg Jenjarom telah kembali kerahmatullah sepanjang bulan Januari. JKKK Kg Jenjarom ingin merakamkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Moga keluarga yang terlibat sabar dengan ketentuan qada dan qadar Illahi.

Tuesday, January 20, 2009

Demam Chikungunya

Maklumat terkini yang diperoleh menunjukkan bilangan warga Kampung Jenjarom yang dihidapi penyakit demam chikungunya semakin ramai. Marilah kita berwaspada dengan ancaman nyamuk aedes yang boleh menyebarkan penyakit ini.

Rujuk posting berkaitan penyakit chikugunya: Klik di sini.