Thursday, November 26, 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA 1430H

JKKK Kg Jenjarom mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha khususnya kepada seluruh warga Kg Jenjarom dan pengunjung blog ini. Sempena Aidil Adha tahun ini sebanyak kira-kira 30 ekor lembu akan dikorbankan di Kg Jenjarom.

Saturday, November 21, 2009

Berita Bergambar dan Video Pemeriksaan Kesihatan Percuma Oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia

Pihak yayasan datang bersama sebuah van dengan 6 petugas

Video sekitar program pemeriksaan kesihatan
Pendaftaran dibantu oleh pihak JKKK. Kelihatan Sdr Sarip membantu Hj Adni juga ahli JKKK mengisi borang pendaftaran.
Sdri Iswati turut membantu mendaftar warga kampung yang ingin membuat pemeriksaan kesihatan
Seorang warga kampung sedang diambil contoh darah oleh petugas yayasan



Selepas pendaftaran warga kampung diambil timbangan berat badan, tinggi dan ukur lilit pinggang, specimen air kencing dan darah serta tekanan darah

Sesi terakhir ialah sesi kaunseling berkenaan dengan status kesihatan warga kampung yang melakukan pemeriksaan
Tn Hj Iskandar bersama maklumat kesihatan yang diperoleh dan menunjukkan semuanya ok kecuali tekanan darah tinggi yang perlu diberi perhatian.
Turut menyertai kami ialah Sri Ain Mas Cotek yang membuka booth untuk warga kampung membeli mas cotek atau menyertai perniagaan mereka.
Warga kampung diberi peluang merasa mas cotek yang terdiri daripada pelbagai perasa antaranya kopi, teh halia dan mas cotek tulen.

Tarikh: 21 November 2009
Hari: Sabtu
Masa: 10.00 pg - 3.30 ptg
Tempat: Dewan Orang Ramai, Kg Jenjarom
Anjuran: Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (National Kidney Foundation) dengan kerjasama JKKK Kg Jenjarom

JKKK merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Buah Pinggang Malaysia atas sumbangan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada warga Kg Jenjarom.

Friday, November 20, 2009

Cerita Pilu Kejayaan Anak Yang Kehilangan Ibu Semasa Mendapat Keputusan UPSR 2009

Siti Terima Keputusan Cemerlang UPSR Depan Jenazah Ibu
Siti Amynur Ain Putri Mohd Ameen Azaly, 12, berdoa di kubur ibuya Rusmah Abdullah yang meninggal dunia malam kelmarin di Tanah Perkuburan Makam Tuan Haji Said kelmarin. Siti Amynur yang berjaya memperolehi keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat keputusan yang disampaikan oleh guru besar sekolah itu, Noreha Adam itu di hadapan jenazah ibunya sebelum dikebumikan semalam. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Tidak seperti murid Tahun Enam lain yang kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Amynur Ain Putri Rosdy kesedihan menerima keputusan itu di hadapan jenazah ibunya.

Apabila keputusan UPSR diumumkan di pejabat Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior semalam, Siti Amynur Ain Putri berada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu kaum keluarga yang lain menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah pada tengah malam Rabu selepas terlantar di wad hospital selama dua minggu.

Berderai air mata Siti Amynur Ain Putri dan kaum keluarga yang lain apabila guru besar sekolah itu, Noreha Adam menyampaikan keputusan ke tangan pelajar itu sendiri di hadapan tubuh kaku ibunya beberapa minit sebelum solat jenazah dimulakan pada pukul 11.30 pagi semalam.

"Saya sedih sangat, ibu tidak dapat melihat keputusan ini. Ibu selalu berpesan semasa hidup bahawa saya ini harapan dia, ayah pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu," kata Siti Amynur Ain Putri dengan linangan air mata.

Pelajar itu kini hidup yatim piatu bersama abangnya yang berusia 14 tahun. Selepas ayahnya meninggal dunia akibat sakit tibi, ibu Siti Amynur Ain Putri bekerja sebagai pencuci di sebuah hotel bajet rendah di Seremban dengan pendapatan RM500 sebulan.

Pada April lepas, ibunya terpaksa berhenti kerja apabila pelajar itu mengalami kemalangan sehingga patah kaki dan keluarga itu terpaksa hidup dengan bantuan kewangan RM400 sebulan.

Setiap hari selepas berhenti kerja, ibunya akan berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk menghantar nasi bungkus kepada Siti Amynur Ain Putri kerana pelajar itu tidak balik rumah untuk menunggu kelas bimbingan UPSR.

Siti Amynur Ain Putri Rosdi, 12, (tengah) mengaminkan doa yang dibacakan oleh guru agama Ustaz Zakri Abdul Azizi (kiri) ketika melawat kubur ibuya Rusmah Abdullah. Turut serta (dari dua kiri) abang dan dua ibu saudaranya.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, yang terkejut ketika dimaklumkan ibu Siti Amynur Ain Putri meninggal dunia, berkata: "Siti merupakan ketua murid di sekolah kami. Kami tahu dia akan mendapat keputusan cemerlang. Pagi-pagi saya sudah ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk mengambil keputusan (UPSR) seawal mungkin.

"Saya nekad untuk mendapat keputusan cepat dan sampaikan sendiri ke tangan Siti sebelum jenazah ibunya dikebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said," katanya.

Beliau dengan ditemani seorang guru hampir sahaja terlewat dan Noreha tidak putus-putus berdoa supaya Siti Amynur Ain Putri menerima berita baik di sebalik ujian berat yang menimpa pelajar itu.

Ketika menyampaikan keputusan itu ke tangan murid Tahun 6 itu, Noreha berkata suasana sangat hiba dan puluhan orang termasuk ahli surau terdiam tetapi beliau mengumpul semangat untuk memberitahu kepada murid itu: "Ibu tentu tahu Siti mendapat keputusan cemerlang".

Noreha, yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 24 tahun, kini berusaha untuk membantu Siti Amynur Ain Putri mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.

"Siti ini tabah orangnya, kami tidak tahu pun ibunya dimasukkan ke wad selama dua minggu sebelum meninggal dunia. Semasa Siti patah kaki pada April lepas, dia mendapat cuti sakit selama dua bulan tetapi masuk bulan kedua, dia berazam untuk datang ke sekolah," katanya.

Katanya Siti Amynur Ain Putri mahu mengubah kemiskinan keluarganya dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah. BERNAMA

Pemeriksaan Kesihatan Percuma Oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia


Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (National Kidney Foundation of Malaysia) dengan kerjasama JKKK Kg Jenjarom akan mengadakan Hari Kesihatan Komuniti secara percuma kepada seluruh warga Kg Jenjarom dan kampung sekitarnya. Unit Kesihatan Bergerak NKF LifeCheck akan membuat pemeriksaan kesihatan pada tekanan darah, air kencing, indeks jisim tubuh, ukur lilit pinggang, glukos/kolesterol dalam darah dan kaunseling. Butir-butir berhubung program tersebut adalah seperti di bawah:

Tarikh: 21 November 2009
Hari: Sabtu
Masa: 10.00 pagi - 3.30 ptg
Tempat: Dewan Orang Ramai Kampung Jenjarom

Seluruh warga Kampung Jenjarom, Kg. Sungai Rambai dan Kg Seri Cheeding dijemput hadir.
Program berkenaan boleh diakses melalui url berikut: Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia

Keputusan UPSR SK Jenjarom 2009

Seramai 24 calon SK Jenjarom telah memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR 2009 yang diumumkan pada 18 November lalu. Sungguhpun keputusan ini menunjukkan kemerosotan daripada keputusan tahun lalu tetapi diharapkan menjadi pendorong untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan tahun depan serta warga pendidik agar berusaha dengan lebih gigih. Tahun lalu seramai 29 calon telah memperoleh 5A.
JKKK Kg Jenjarom merakamkan ucapan tahniah untuk anak-anak warga Kg Jenjarom atas kejayaan mereka dalam peperiksaan UPSR dan PSRA 2009. Ucapan tahniah juga kepada seluruh warga pendidik SK Jenjarom dan SKA Jenjarom atas kejayaan anak-anak didik sekolah dalam kedua-dua peperiksaan tersebut. Sesungguhnya kami berkongsi kegembiraan atas kejayaan mereka dan menjadi kebanggaan kepada kami. Teruskan usaha murni cikgu semoga SK Jenjarom dan SKA Jenjarom akan terus memperoleh kejayaan.

Thursday, November 19, 2009

Larangan Membina Pusara / Kepuk




Makluman kepada seluruh penduduk kampung Jenjarom.Seperti yang tertera di papan tanda Tanah Perkuburan Islam Kampung Jenjarom,waris-waris si mati adalah dilarang untuk membina pusara atau kepuk di atas kubur si mati.Ini adalah berdasarkan keputusan mesyuarat AJK Masjid al Falah setelah merujuk kepada hadith Rasulullah SAW dan juga rujukan kepada kitab-kitab para ulama yang muktabar mengenai perkara ini.Di antaranya ialah kitab Bahrul Mazi Syarah kepada Sunan Tirmizi karangan al Allamah al Sheikh Muhammad Idris al Marbawi Rahimahullah yang melarang sebarang pembinaan bangunan atau pusara / kepuk di atas kubur.


Untuk itu,kepada penduduk kampung yang musykil dan perlukan penjelasan mengenai perkara ini sila merujuk kepada Tuan Nazir atau Tuan Imam Masjid al Falah Kampung Jenjarom.

Tuesday, November 10, 2009

Program Rumah Ku Syurga Ku


Pada 31 Oktober 2009 yang lalu,Masjid al Falah di bawah kelolaan Biro Dakwah dan Pendidikan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat telah mengadakan Seminar Kekeluargaan Islam "Rumah Ku Syurga Ku".Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung. Bermula seawal 8.00 pagi,para peserta mendaftarkan diri dan menikmati sarapan pagi.Program diteruskan dengan ceramah bertajuk 'Halal dan Haram Dalam Islam' oleh Bahagian R&D Jabatan Agama Islam Selangor disampaikan oleh Ustaz Mohd Hafizal Ayob.Program diteruskan dengan ceramah kekeluargaan Islam yang disampaikan oleh Tuan Haji Alwi bin Parman,Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundangan Keluarga JAIS.Program tamat pada jam 1.00 tengahari.Semoga program ini mendapat manfaat untuk semua penduduk kampung.